Rabu, 25 Jun 2008

Kereta Shawal bersuara

Credit to : Akhbar KOSMO (Rabu : 25 Jun 2008)
Oleh FAIZAL SAHARUNI


ISTILAH kereta terpakai atau kereta second hand memang suatu istilah biasa. Bagi rakyat berpendapatan sederhana dan miliki sedikit asas ilmu dalam bidang automotif, kereta terpakai dianggap alternatif paling bijak berbanding pelaburan kereta baru yang kini semakin mahal.

Dengan kos sara hidup terus meningkat dari semasa ke semasa ditambah sumber pendapatan yang agak terhad, kereta terpakai jugalah yang menjadi pilihan hati.

Namun, bagi sesetengah orang, membeli kereta sebegini terlalu banyak risiko yang perlu ditanggung kemudian hari.

Pendedahan meluas di media cetak dan elektronik tentang kejadian seperti kereta sambung, geran bertindih dan risiko kondisi yang teruk antara menjadi faktor menyebabkan kereta baru lebih digemari ramai.

Berlainan pula bagi peserta terakhir tersingkir dalam Akademi Fantasia 5 (AF5), Shawal yang menganggap pembelian kereta terpakai ada pro dan kontranya.

Membutir pendapat peribadi, kata jejaka berusia 23 tahun ini, pemilihan kereta terpakai punyai kebaikan dan keburukan, malah ia bergantung pada bajet individu itu sendiri.

"Saya tahu nak beli kereta terpakai bukannya mudah. Pembeli harus bijak buat penilaian dan mengambil kira beberapa aspek penting awal-awal lagi.

"Sebaiknya jika tiada pengetahuan luas tentang kenderaan, lebih baik kita ajak rakan yang lebih memahami selok-belok kereta atau minta bantuan mekanik demi mengelakkan kejadian ditipu penjual kereta.

SHAWAL enggan membazir apabila membabitkan pembelian kereta.

"Lebih-lebih lagi kita tidak tahu pun keadaan dalaman kereta itu baik atau pun tidak. Justeru, bermacam perkara harus dinilai dan ditekankan terlebih dahulu.

"Sebagai pembeli, kita juga kena pandai pilih. Jangan tengok luarannya yang elok dan menarik, kita terus berkenan mahukan kenderaan itu," ujar Shawal memberikan nasihat berguna.

Begitu pun, dari satu sudut positif kepada pembeli, kereta seperti ini memberi pulangan menguntungkan jika perkiraan dilakukan dengan betul.

Jika tidak, mustahil pekedai yang menjual kereta terpakai boleh terus hidup dan tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Lihat sahaja di Lembah Kelang, konsep perniagaan lokasi setempat hampir ada di mana-mana dengan menawar pilihan kereta terpakai tempatan dan versi re-con dari Jepun dan Britain.

Pearl White kekasih Shawal

Beritahu Shawal atau nama sebenarnya Mohd Shawal Ruslan, kereta yang kini digunakan, Honda EK bagi mengangkut diri ke destinasi yang ingin dituju merupakan kereta terpakai diperolehi dengan harga sekitar RM50,000.


Mula digunakan sejak melangkahkan kaki keluar daripada AF5 setahun lalu, kata Shawal, Honda berusia hampir sedekad dengan gelaran Pearl White itu dibeli dengan seorang rakan yang bekerja di pejabat lamanya sebelum bergelar graduan AF.

"Saya tak kisah gunakan kereta terpakai walaupun ada yang berpendapat golongan selebriti seharusnya mendapatkan kenderaan baru dan moden di pasaran.

"Pada saya, terpulang pada keinginan dan kemahuan tiap individu itu. Tak semua orang cita rasa sama, malah saya perhatikan kereta terpakai juga ada kualiti masing-masing walaupun sudah digunakan orang lain.

"Apa yang saya tahu, ramai yang membeli kereta terpakai ini bagi mengubahsuai kenderaan mereka. Dengan itu, mereka dapat menjimatkan kos dan tak perlu keluarkan duit yang banyak," jelas anak sulung daripada empat beradik ini.

TIDAK ingat berapa kos dihabiskan bagi mengubah suai keretanya ini.

Shawal yang dilahirkan pada 3 Julai 1984 memberitahu, pemilik kenderaan jenis ini bakal berhadapan dengan situasi mobil mengalami masalah tidak menentu.

"Itulah keburukan kereta terpakai. Apa jua keadaan atau masalah boleh berlaku tanpa dapat dijangka. Bila-bila masa dia boleh buat hal.

"Berbanding kereta baru, sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga tahun ia tidak akan meragam apatah lagi jika tuan punya kereta jaga dia dengan sepenuh kasih-sayang," ungkapnya.

Tidak dinafikan, sebelum ini Shawal berhasrat untuk membeli kenderaan baru, namun setelah memikirkan bermacam pandangan dan situasi, dia terpaksa melupakan angan-angan itu.

"Sebelum menyertai AF5, saya dah pun beli Proton Wira. Saya tak mahu nak membazir sangat sebab kereta itu pun masih digunakan adik.

"Ada ketikanya saya pun akan pandu Wira itu di sekitar rumah. Jadi saya rasa elok beli kenderaan terpakai sebab tak nak membazir.

"Lagi pun saya minat ubahsuai kenderaan. Dengan adanya Honda warna putih mutiara ini, saya boleh jalankan pengubahsuaian padanya bila-bila masa saja," tutur Shawal menguraikan lebih lanjut personalitinya yang berminat dalam mencantikkan mobil.

SEPERTI kereta baru. Inilah hasil ubah suai yang dilakukan terhadap kereta terpakai milik Shawal.

Sebelum menutup bicara petang itu, Shawal sempat menasihati para pemandu yang 'gila' mengubahsuai kenderaan: "Kalau anda nak buat apa-apa pada kereta, lakukan secara berpatutan dan ikut kemampuan sendiri.

"Sejauh mana minat dan hobi anda terhadap ubahsuai kenderaan, paling penting ia tidak sesekali langgar atau menyalahi undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa."