Khamis, 5 Jun 2008

HIP Ramai sokong Hari Seniman

Penggiat seni mahu tahu pengisian di sebali perisytiharan itu TANGGAL 29 Mei sudah diwartakan secara rasmi sebagai Hari Seniman Kebangsaan apabila Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) mengisytiharkannya bertujuan mengenang dan menghargai segala bentuk sumbangan dan jasa golongan itu dalam meneruskan legasi karya seni anak tempatan.

Ia diisytiharkan dan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam majlis penuh gemilang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khamis lalu.

Mengharukan lagi, apabila termaktubnya tarikh itu juga jatuh pada hari sambutan ulang tahun ke-35 tahun pemergian Seniman Agung Negara, Tan Sri P Ramlee.

Tapi apa pandangan generasi muda terhadap Hari Seniman? Hip mendapatkan pandangan beberapa pandangan karyawan veteran dan baru mengenai Hari Seniman yang akan menjadi acara tahunan bagi karyawan seni tanah air.

DATUK SARIMAH AHMAD
"Sebagai orang lama, saya masih berasakan ada kekaburan terhadap pengisian yang ingin dilaksanakan pada Hari Seniman. Sebelum kita melaksanakan sesuatu, apa yang penting dalam pelaksanaan itu adalah pengisiannya. Namun sehingga hari ini saya masih kabur.

Jika kita lihat pada tarikhnya pun jatuh pada hari pemergian seniman P.Ramlee dan bukannya pada hari kelahirannya. Saya juga tidak mahu menyamakan dengan sambutan Maulidul Rasul yang disambut pada hari kelahiran Nabi kita, namun itu juga adalah tarikh yang sebaiknya. “Saya juga sudah terlalu banyak bercakap mengenai seniman dan rasanya sudah tidak ada apa lagi yang ingin disampaikan kerana semasa adanya P.Ramlee saya juga bersamanya. Perjuangannya dalam dunia seni ini terlalu besar dan seharusnya hari seniman juga harus diisi dengan pelbagai pengisian yang besar.


“Saranan saya juga sekiranya boleh ditubuhkan Yayasan P.Ramlee yang banyak boleh memberi manfaat kepadanya dan juga anak seni yang betul-betul bergiat dalam dunia seni ini. Bagaimanapun saya tetap menyokong dengan kewujudan Hari Seniman ini yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dikalangan orang seni, tetapi terpulang bagaimana penganjur melaksanakannya amanat itu."


DYNAZ
"Hari Seniman memang sepatutnya diraikan oleh orang seni. Tetapi saya masih kurang jelas mengapa orang seni macam saya ini masih lagi bekerja sedangkan hari itu adalah untuk kita semuanya. Komitmen pada kerja memang sepatutnya diteruskan tetapi apalah salahnya sehari itu diraikan hari untuk seniman tanah air dengan memberikan cuti agar dapat bersama berkumpul. “Saya akui memang orang seni ini sebenarnya sukar untuk mencari ruang untuk bercuti, sedangkan hari raya pun masih bekerja inikan pula sambutan yang pertama kali untuk disambut oleh orang seni. Sekiranya boleh disarankan kepada pihak kerajaan agar syarikat penerbit memberi cuti dan anak-anak seni ini boleh memberi komitmen kepada hari seniman yang akan disambut selama sebulan itu."

NABIL
"Sebagai pendatang baru yang memeriahkan persada seni, saya tumpang gembira dengan terwartanya Hari Seniman Kebangsaan. Ia satu penghargaan kepada penggiat seni yang selama ini bertungkus-lumus memperjuangkan budaya dan warisan dalam pelbagai medium. Sebagaimana mereka, saya juga mengharapkan kehadiran diri ini mampu memberi impak dalam dunia seni hiburan. “Harapnya usaha Finas yang diberi amanah sebagai jentera penggerak kesinambungan Hari Seniman Kebangsaan akan terus menerus memastikan sambutannya dengan pengisian yang baik. Setidak-tidaknya orang luar dan masyarakat akan sedar peri pentingnya peranan dan figura seorang seniman itu mencakupi pelbagai aspek seni."


SHAWAL
"Tanpa generasi lama, maka tiadalah generasi baru seperti kami ini. Usaha menghargai golongan seniman dan penggiat seni bukan satu usaha bermusim sebaliknya perlu dilakukan berterusan. Merekalah sentiasa menjadi idola, teladan dan contoh untuk kami memperjuangkan bakat seni yang ada. “Perjuangan dan pengorbanan mereka jangan sesekali dilupakan dan menjadi penanda aras untuk kami terus bekerja keras dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, tidak semata-mata dikaburi dengan pulangan hasil kerja dalam bentuk wang ringgit saja. Dengan termaktubnya HSK itu sekaligus kita boleh menghargai dan menghayati pemergian Allahyarham Tan Sri P Ramlee.”


FOUZIAH GOUS
"Pada saya, Hari Seniman Kebangsaan patut diraikan dan secara tak langsung kita dapat mengingati pemergian Allahyarham Tan Sri P Ramlee serta hari mengiktiraf sesama penggiat dan pengkarya seni. Melihat secara kasar, sebenarnya dengan adanya Hari Seniman, kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama penggiat seni. Pada masa yang sama, kita dapat berkongsi banyak perkara sesama sendiri. Sebagai orang baru, saya yakin generasi pelapis perlu lebih peka mengenal perjuangan generasi terdahulu sebagai pembakar semangat dan motivasi.




Credit To : Berita Harian (Selasa 3 Jun 08)

Tiada ulasan: