Ahad, 26 Oktober 2008

Bintang AF serikan Kemuncak Aidilfitri

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

MAESTRO Talent & Management Sdn Bhd dan Al Najwa Productions Sdn Bhd bakal menganjurkan majlis Kemuncak Aidilfitri Bersama Bintang Akademi Fantasia (AF) sempena dengan tirai Syawal yang bakal berlabuh beberapa hari saja lagi.

Majlis Makan Malam Kemuncak Aidilfitri yang akan diadakan di Dewan Toh Puan Rahah, Yayasan Tun Abdul Razak pada 29 Oktober itu bakal diserikan dengan persembahan daripada bekas peserta AF seperti Mawi, Mila, Stacy, Faizal, Zahid, Farah, Dafi, Heliza, Toi, Nadia, Riz, Marsha, Nubhan, Saida, Shawal, Alif, Noni, Zila serta beberapa finalis Raja Lawak.

Ketua Pengurusan Artis dan Bakat, Maestro Talent, Liza llias berkata, penganjuran majlis ini lahir daripada cadangan kelab peminat AF sendiri yang rindu untuk melihat peserta kegemarannya beraksi.
Memandangkan Maestro sendiri sudah lama tidak menganjurkan majlis yang menggabungkan bekas pelajar dari musim pertama hingga keenam, ia memberi idea kepada pihak Maestro untuk menganjurkan majlis sedemikian. Selain itu juga, dengan menggabungkan ramai penyanyi dalam satu majlis memberi lebih banyak pilihan kepada tetamu yang hadir kelak.


“Kami sedar bukan mudah untuk peminat berkunjung ke rumah artis kegemaran mereka satu persatu. Selain destinasi yang jauh, kos juga menjadi salah satu faktor yang menghalang. Jadi dengan adanya majlis makan malam ini, tetamu bukan hanya dapat berjumpa seorang tetap ramai pelajar AF yang akan hadir pada malam itu nanti.

“Kami mahu wang yang mereka laburkan untuk ke majlis ini setimpal dengan apa yang dibayar. Kami mahu mereka gembira, selain berhibur mereka juga dapat bertentang mata dengan artis pujaan masing-masing,” kata Liza.

Pemilihan artis untuk menjayakan majlis berkenaan dibuat atas permintaan peminat, keaktifan mereka dalam dunia seni dan turut bergantung kepada kekosongan jadual.

Tetamu yang hadir pada malam itu nanti akan dihiburkan dengan persembahan solo, berkumpulan dan duet. Selain itu juga, majlis berkenaan akan menjadi medan kepada bekas pelajar AF memperdengarkan single terbaru mereka.

Selain berpeluang melihat persembahan, pelanggan yang membeli tiket berharga RM 400 juga berpeluang duduk bersama-sama dengan artis pujaan mereka.

Bagaimanapun menurut Liza, tiket untuk menyaksikan majlis hari raya itu sudah hampir habis dijual. Tiket dijual dari harga RM 100 hingga RM 400. Dewan Tun Rahah mampu memuatkan kira-kira 650 tetamu.

Bagi mereka yang berminat untuk menghadiri majlis makan malam ini boleh menghubungi talian 017-2696859 atau 012 3670753 dan 03-20943066.

kredit artikel : berita harian online

Tiada ulasan: