Jumaat, 5 Disember 2008

Rezeki Shawal datang mencurah ~ Harian Metro

REZEKI dalam bidang lakonan tidak pernah putus buat bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mohd Shawal Ruslan atau Shawal, 24.

Bermula dengan siri Pria yang disiarkan di Astro. Lakonan pemuda tinggi lampai ini sebagai pelakon utama dapat disaksikan peminat menerusi telefilem komedi berjudul Din @ Dina, terbitan JD Productions.

Malah selepas berjaya membuktikan bakat lakonannya Shawal mula terbabit dalam pengacara. Selepas satu demi satu tugas mengacara ditawarkan kepadanya, bermula untuk program hiburan raya, dia mengendalikan pula program Azam Syawal dan Lebaran Di Alaf Baru disiarkan RTM.

Shawal digandingkan dengan pelakon, Ozlynn Waty Ismail untuk program majalah buah-buahan, Rahsia Yang Tersembunyi terbitan A Aida Production Sdn Bhd.

Bagi Shawal yang terkenal dengan tagline A Go Go ketika penampilan di AF5, nyanyian masih menjadi keutamaannya begitupun sebagai artis dia mahu mempamerkan bakat seni yang ada ketika diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.

"Ada yang bertanya sama ada saya sudah tidak berminat menyanyi. Sebenarnya nyanyian masih menjadi keutamaan. Lakonan dan pengacara sebagai batu loncatan untuk mengembangkan bakat seninya. Ketika ini mungkin rezeki saya pada lakonan dan pengacara. Jadi ada baiknya saya mencuba.

"Bukan untuk tangkap muat atau menerima apa saja watak ditawarkan sebaliknya lakonan membabitkan karakter yang pasti berbeza-beza. Dengan cara ini saya dapat memperbaiki kelemahan ketika tampil dalam lakonan," katanya.

Pembabitan dalam bidang nyanyian dan lakonan banyak membantu Shawal ketika mula berjinak dalam pengacaraan. Walaupun pada peringkat awalnya dia berdepan masalah namun berjaya diatasi dengan bimbingan pengarah serta rakan artis.

"Sebenarnya pengacaraan banyak membantu saya membentuk keyakinan diri ketika tampil menjayakan persembahan. Ketiga-tiga bidang ini ternyata mempunyai kaitan antara satu sama lain tidak salah jika sama mencubanya," katanya.

Menurut Shawal lagi, dia merancang untuk menghasilkan album kompilasi lagu 60-an secara solo jika diberi kesempatan pada masa depan.

kredit artikel : www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: