Sabtu, 13 September 2008

Majlis Berbuka Puasa & Pelancaran Amboi3

by gua.com.my
12 Sept 2008

Nama Azwan Ali sememangnya sentiasa hangat di persada seni negara. Selain sinonim dengan pelbagai kisah kontroversi sebelum ini, Azwan Ali juga sangat terkenal melalui program ‘Jangan Tidur Lagi’ yang disiarkan di TV3 serta ‘Cit Cat Azwan Ali’ yang sentiasa dekat di hati penonton.

Kini setelah menyepi hampir dua tahun, bekas pengacara program hiburan terkenal ‘Melodi’ dan ‘Muzik-Muzik’ ini meneruskan idea kreatifnya menerusi program bual bicara terbaru berjudul 'Amboi… Amboi… Amboi…' yang bakal ditayangkan di saluran Astro tidak lama lagi.

Berpeluang mendekati Azwan di majlis berbuka puasa dan pelancaran program tersebut di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan baru-baru ini, dia memberitahu, 'Amboi… Amboi… Amboi…' merupakan sebuah rancangan hiburan yang cukup sensasi dan terkini.

"Hakikatnya 'Amboi… Amboi… Amboi…' adalah sebuah rancangan hiburan yang boleh saya sifatkan sebagai 'revamp of the previous ‘Cit Cat’. Walaupun ‘Cit Cat Azwan’ sudah berakhir, kehadiran 'Amboi… Amboi… Amboi…' diharap dapat mengubat kerinduan penonton Astro terhadap sebuah rancangan ala gosip dan kontroversi seumpama Cit Cat yang sentiasa panas dan membara," katanya.

Tambahnya konsep soalan laser masih dikekalkan di dalam program 'Amboi… Amboi… Amboi…', namun ianya menggunakan beberapa pendekatan terkini. Malah beberapa pembaharuan dalam program tersebut terutamanya daripada segi mood yang diselitkan dengan unsur-unsur drama komedi memikat tanpa menjejaskan matlamat utamanya dalam memberikan mesej mendalam terhadap isu-isu kontroversi yang melanda artis jemputan setiap minggu turut diterapkan.

"Saya selaku penerbit eksekutif sangat berpuas hati dengan kerja-kerja rakaman yang telah dilakukan. Malah saya juga gembira kerana berjaya menghimpunkan 40 artis dan selebriti tanah air untuk dirakamkan kenyataan-kenyataan sensasi mereka.

"Pada saya selebriti yang terlibat dalam program ini merupakan kumpulan artis yang berpijak dibumi nyata dan tidak takut dengan bayang-bayang sendiri," ujaranya yang yakin program tersebut bakal mendapat sambutan hangat daripada para penonton.

Antara selebriti yang terlibat dalam program 'Amboi… Amboi… Amboi…' ialah Jaclyn Victor, Hans Isaac, Zahida Rafik, Jehan Miskin, Jue Aziz dan ramai lagi. Selain itu, pengacara serba boleh ini juga mengundang artis sensasi awal 80-an seperti Zarina Zainuddin, Dee Jangan Ketawa dan Leina Hangat untuk menambah kemeriahan.

Selain menjawab pelbagai isu kontroversi, para selebriti yang terlibat dalam program ini juga berpeluang bercerita tentang perkembangan terbaru karier seni mereka.

Tambah menarik, program yang berdurasi selama satu jam ini bakal diserikan dengan gelagat-gelagat lucu Mas AF yang muncul dalam setiap episod sebagai pembantu rumah Azwan bernama 'Bulan Jamaica'. Mas akan muncul dalam adegan-adegan drama sketsa komedi.

Menurut Mas, muncul dalam program terbaru itu bersama Azwan Ali merupakan pengalaman menarik yang sukar untuk dilupakan. Malah dia diberi peluang menonjolkan bakat terpendamnya sebagai seoarang pengacara.

Dalam pada itu, sempena hari raya Pertama, 'Amboi… Amboi… Amboi… Raya' akan ke udara buat pertama kalinya di saluran Astro Prima (saluran 106) pada jam 11.30 pagi dan menampilkan tiga bintang popular iaitu Dafi, Mila dan Rozita Che Wan selaku tetamu istimewa.

Manakala program mingguan 'Amboi… Amboi… Amboi…'pula akan bersiaran pada setiap hari Khamis, jam 9 malam bermula 6 November depan.

Sementara itu dalam majlis berbuka puasa yang telah dianjurkan, ramai selebriti popular yang turut hadir memberikan sokongan. Antaranya Zarina Zainuddin, Zahida Rafiq, Shawal AF, Bob AF, Mas AF, Sarimah Ibrahim, Raja Farah, Izwan Pilus dan Dina MI.

kredit artikel n foto : www.gua.com.my

Tiada ulasan: