Isnin, 5 Oktober 2009

HIP @ Berita Harian (05 Oct 2009)


Nita, Zahid berkongsi harapan
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Sama-sama mengukuhkan kedudukan ekonomi sebagai persediaan ke alam rumah tangga

SELEPAS puas berhari raya di kampung halaman masing-masing, kini warga kota mula kembali ke Kuala Lumpur demi tuntutan tugas. Namun itu tidak bererti budaya kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi turut terhenti. Bagi meneruskan tradisi menziarah antara satu sama lain, menganjurkan majlis rumah terbuka bagaikan sinonim buat mereka.

Bagi pasangan kekasih Zahid dan juga Nita, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan majlis rumah terbuka untuk meraikan bersama rakan-rakan artis yang rapat dengan mereka serta peminat yang selama ini tidak jemu-jemu menyokong kerjaya seni mereka. Pun begitu, majlis rumah terbuka itu tidak dilakukan di kediaman mereka. Sebaliknya mereka memilih untuk menganjurkan acara itu di restoran milik mereka iaitu Studio Cafe yang terletak di Wangsa Maju.

Terlalu pantas singkat masa berlalu. Bulan ini genaplah dua tahun Zahid dan Nita meraikan Aidilfitri sebagai pasangan yang bercinta. Sepanjang tempoh itu, pelbagai dugaan dan halangan yang terpaksa mereka tempuhi. Namun berkat kesabaran serta melalui semua peristiwa itu dengan tenang akhirnya percintaan mereka melewati sehingga kini.

Biarpun tempoh dua tahun itu sudah cukup untuk mengenali hati dan budi pasangan masing-masing namun bagi Nita dan juga Zahid mereka masih memerlukan tempoh yang lebih panjang sebelum mereka sepakat untuk mendirikan rumah tangga. Justeru, hasrat mereka yang ingin menyaksikan Syawal terakhir sebagai kekasih sebelum bergelar suami isteri nampaknya tidak kesampaian.

“Sejujurnya kami masih belum bersedia untuk menempuh gerbang perkahwinan. Melihat kepada situasi yang berlaku sekarang ini iaitu perceraian di kalangan artis, terus terang Nita memang takut untuk berkahwin. Justeru, bagi Nita dalam tempoh ini baiklah kami berdua berkawan lebih dulu, kenali sedalam-dalamnya sifat sebenar pasangan masing-masing. Kalau hendak bergaduh pun biarlah sekarang sebab menyesal di kemudian hari tidak ada gunanya,” kata Nita atau nama penuhnya Norhanita Hamzah ini membuka bicara.

Bukan saja belum bersedia dari segi mental, malah menurut naib juara Malaysian Idol kedua ini juga meletakkan faktor ekonomi membuatkan mereka perlu menangguhkan dulu hasrat untuk berumah tangga.

“Biarlah kami berdua kumpul harta terlebih dulu. Nanti apabila kedua-duanya sudah stabil, InsyaAllah, kami akan bersatu juga,” katanya.

Pendapat itu juga disokong Zahid. Katanya, sebagai lelaki dia harus mempersiapkan diri terlebih dulu sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang.

“Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Kita kena pastikan betul-betul bersedia. Macam saya sendiri, banyak perkara yang perlu saya lakukan. Saya kena stabilkan dulu ekonomi sebelum menyara anak orang. Jadi ketika ini selain menumpukan perhatian pada kerjaya nyanyian, saya juga mahu bisnes kafe yang saya usahakan ini lebih berjaya,” katanya.

Sebagai anak seni, pastinya kedua-dua pasangan ini mempunyai peminat masing-masing. Tidak dapat dinafikan perasaan cemburu itu sedikit sebanyak bersarang dalam hati. Ini diakui oleh Nita.

“Sebagai wanita, sememangnya saya ada perasaan cemburu yang kuat pada Zahid. Ada ketika hal itu selalu menjadi pertelingkahan kecil. Bagaimanapun, Zahid bijak mengawal.

”Dia seorang yang tenang dan kalau saya marah pun dia buat tak tahu saja. Ada kala dia hanya ketawa seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Mungkin sikapnya yang penyabar itulah yang mengikat saya bersamanya sehingga ke hari ini,” kata Nita yang mendapat hadiah kain daripada Zahid sempena Aidilfitri lalu.

Jika Zahid ingin menumpukan perhatian pada perniagaan kafe, Nita juga sedang berkira-kira untuk menerbitkan single sebagai meneruskan kariernya sebagai penyanyi. Katanya, single itu akan diterbitkannya sendiri.

“Nita mahu muncul dengan lagu yang berkonsepkan muzik ala-Avril Lavigne. Kalau hendak diikutkan memang vokal Nita sesuai dengan lagu seperti itu. Single ini akan Nita terbitkan sendiri dengan modal Nita sendiri.

“Kalau hendak bercakap soal syarikat rakaman, saya pun tak tahu apa status saya sekarang ini. Setiap kali saya ingin berbincang soal ini, mereka (SRC Records), ada saja alasan yang diberikan. Malas hendak memanjangkan cerita, saya biarkan saja. Kalau mereka hendak panggil saya untuk bincang, saya tak ada masalah,” luahnya.

SHAWAL aktif bisnes E-Dagang

LAMA tidak mendengar Shawal. Seperti bekas pelajar AF lain, nama Shawal hangat hanyalah ketika dia baru saja keluar dari sangkar emas itu. Namun, apabila pelajar musim baru datang bersilih ganti, nama Shawal seakan lenyap. Justeru apabila kelibat jejaka ini muncul di majlis rumah terbuka Nita dan Zahid, Hip tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan perkembangan terbarunya.

Menjawab persoalan kehilangannya itu, Shawal berkata dia tidak pernah hilang dalam bidang seni cuma dia mengakui dirinya agak sunyi dari sebarang publisiti.

“Saya masih menyanyi dan setakat ini undangan mengadakan pertunjukan pentas masih ada. Cuma selepas melihat apa yang berlaku, saya rasa saya perlukan jaminan dalam kehidupan. Bukanlah saya nak kata bidang seni ini tak boleh menampung hidup, tetapi saya perlukan sesuatu yang lebih meyakinkan.

“Untuk itu saya berjinak-jinak dengan perniagaan e-dagang. Dengan menceburkan diri dalam bidang ini, saya dikehendaki memberi ceramah di seluruh negara mengenai kebaikan perniagaan ini. Alhamdulillah, saya sudah nampak hasilnya kini,” katanya.

kredit foto scanning : Madjo thanks (^_^)v
kredit artikel : www.bharian.com.my

1 ulasan:

madjo berkata...

terima kaseh dan cecameh kakak.. yeahh