Jumaat, 5 November 2010

Artis 80-an meriahkan IFF

ISLAMIC Fashion Festival atau IFF merupakan medan serlahan daya kreativiti yang cukup baik di kalangan pereka fesyen tempatan.

Aktiviti penganjuran kali kelima IFF yang dimulakan sejak Januari lalu dengan menjelajah beberapa kota fesyen terkemuka dunia termasuk Abu Dhabi, Dubai, Jakarta, New York dan Monaco kini bakal melabuhkan tirainya.

Berlangsung selama enam hari berturut-turut bermula 7 hingga 12 November ini, acara berkenaan bakal menghimpunkan rekaan hampir 50 pereka fesyen daripada pelbagai latar belakang budaya, bangsa dan agama dari negara ini.

Tidak ketinggalan, ia turut menarik perhatian penyertaan dari beberapa buah negara luar termasuk Indonesia, Singapura, India, Pakistan dan Itali.

Apa yang istimewanya, sempena kemucak IFF kali ini, ia akan menampilkan tema Moghul Splendour yang diasaskan oleh pelakon dan juga perancang perkahwinan terkenal, Datuk Raja Rezza Shah.

Tambah istimewa lagi, kemeriahan penganjuran IFF kali ini akan turut dimeriahkan oleh penyertaan barisan artis ternama tanah air yang pernah menempa kemasyhuran sekitar tahun 1980-an dan masa kini.

Senarai selebriti yang mengesahkan penyertaan mereka termasuk Aman Shah, Siti Fairuz, Halil Chik, Razis Ismail, Shidee, Noraniza Idris, Norshila Amin dan Nassier Wahab.

Tidak ketinggalan, IFF turut menarik minat Man Bai, Ahmad Fauzee, Azlina Aziz dan Liza Aziz, Rohana Jalil, Sheeda, Jamal Abdillah dan Salwa Abdul Rahman.

Sementara, barisan artis muda yang tidak mahu ketinggalan sama-sama mendokong aspirasi penganjuran ini ialah Yuna, Najwa Mahiaddin dan Shawal.

"Oleh kerana latar saya dahulu daripada aliran hiburan maka saya rasa perlu 'keluarga' saya juga ada bersama untuk sama-sama memeriahkan acara ini.

"Lebih dua tahun saya fikirkan bagaimana untuk saya menarik minat lebih ramai orang untuk mengikuti tentang perkembangan IFF.

"Jika dahulu Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid pernah terlibat sama membuat persembahan kali ini saya terfikir untuk mengetengahkan artis-artis popular sekitar tahun 1980-an pula," kata Raja Rezza atau lebih mesra disapa sebagai Shah Rezza di kalangan penggiat seni tanah air pada sidang media baru-baru ini.

Pada sidang media itu juga, beliau mengumumkan, IFF turut menyenaraikan pelbagai acara termasuk majlis pelancaran, persembahan makan malam serta pertunjukan dan majlis kemuncak bakal berlangsung di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.

Menurutnya, acara pembukaan IFF akan diadakan pada 7 November ini pukul 10.30 pagi dengan menampilkan pertunjukan fesyen bercirikan Islamik daripada pereka tempatan dan antarabangsa.

Untuk acara pembukaan itu, dua artis yang akan menghiburkan penonton ialah Aman Shah dan Siti Fairuz.

Sementara itu, kepada mereka yang merindui kemerduan suara Azlina Aziz dan Ahmad Fauzee, inilah peluang untuk anda melihat mereka beraksi.

Kedua-dua bintang popular itu akan menjayakan IFF Charity Brunch yang akan berlangsung pada 8 November pukul 10.30 pagi.

Azlina juga bakal membuat persembahan pada hari yang sama pukul 2.30 petang berkongsi pentas bersama Othman Hamzah dan Liza Aziz pada persembahan yang dihoskan oleh Protect And Save The Children Association, Selangor.

Menambahkan kemeriahan acara IFF, kolaborasi artis-artis lama dan baru iaitu Najwa Mahiaddin, Atilia, Nassier Wahab dan Yuna tentunya menarik perhatian peminat seni.

Mereka akan bergabung tenaga dalam satu acara yang bakal dihoskan oleh Persatuan Karyawan Malaysia pada 10 November pukul 10.30 pagi.

Shah Rezza turut mengumumkan, acara kemuncak iaitu IFF Gala Dinner pula bakal berlangsung di Hotel JW Marriot pada 12 November pukul 7.30 malam.

Untuk persembahan sempena malam kemuncak itu, antara artis yang bakal ditampilkan ialah Ibnor Riza, Liza Aziz dan Fredo.

IFF ternyata menjadi medan penyatuan yang menghimpunkan beberapa negara luar.

Ini jelas apabila bukan hanya pereka fesyen daripada luar mengambil bahagian malah beberapa artis luar turut tampil menghiburkan peminat.

Selain Fredo yang bakal terlibat pada acara kemuncak, penyanyi popular seberang iaitu Hetty Koes Endang juga bakal menghiburkan peminat pada majlis yang dihoskan oleh Breast Cancer Welfare Association (BCWA) pada 9 November pukul 7.30 malam.

Penyanyi popular dari Bollywood, Kumar Sanu juga tidak ketinggalan menghiburkan peminat pada majlis yang dihoskan oleh Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah pada 10 November pukul 7.30 malam.

Kepada mereka yang ingin sama-sama memeriahkan majlis berkenaan diundang sama untuk tempahan meja serta mendapatkan keterangan lanjut mengenai IFF dengan melayari laman sesawang www.islamicfashionfestival.com atau hubungi talian 03-4256 1060 dan 03-4256 2060.

------------------------

Sumber dari : UTUSAN MALAYSIA (5/10/2010)